Berita Harian: Jadi tauke Udang.. Cara Sumbang Jamin Bekalan Makanan Sg
Bekas tokoh korporat dan memiliki PhD gigih kembang niaga pertanian, penternakan bandar intensif yang pertama di sini yang gunakan air yang dikitar
Jadi ‘tauke’ udang… cara sumbang jamin bekalan makanan SG
Nov 29, 2020
Bekas tokoh korporat dan memiliki PhD gigih kembang niaga pertanian, penternakan bandar intensif yang pertama di sini yang gunakan air yang dikitar
KESELAMATAN makanan menjadi antara kebimbangan utama Singapura, terutamanya di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang melanda
dunia kini.
Oleh itu, sebagai seorang rakyat Singapura, Dr Farshad Shishehchian berpendapat bahawa seseorang itu mampu memainkan peranan
mereka dalam memastikan bekalan makanan di Singapura kekal terjamin buat jangka masa panjang.
Dr Farshad, yang merupakan presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat Blue Aqua International, mengambil keputusan untuk
menubuhkan sebuah pusat penternakan udang di sini pada 2017 sebagai antara cara untuk menyumbang kepada usaha tersebut.
Beliau mengalihkan perhatian kepada penternakan tertutup atau indoor farming selepas meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat
sekitar 10 tahun lalu.
Sejak itu, beliau telah mengembangkan niaganya menjadi syarikat pertanian dan penternakan bandar intensif yang pertama di Singapura
dengan menggunakan air yang dikitar.
“Selama bertahun-tahun kami beroperasi di luar Singapura untuk perniagaan akuakultur kami. Namun saya kemudian memutuskan untuk
memindahkan lokasi pengeluaran utama kami ke Singapura kerana keselamatan makanan adalah antara masalah yang dihadapi negara.
“Sebagai rakyat negara ini, saya percaya saya mempunyai tanggungjawab untuk membantu dan menyumbang dalam usaha ini,” kata Dr
Farshad yang juga mempunyai matlamat untuk membawa industri akuakultur Singapura ke tahap baru.
Perjalanan dalam mengembangkan syarikatnya di sini tidaklah selancar seperti diharapkan ketika beliau memutuskan untuk memindahkan
operasi ternakan udang di sini.
Selain masalah mendapatkan tenaga kerja, beliau juga menghadapi kesukaran dari segi logistik.
Beliau berkata: “Ia bukan tugas yang mudah… kami menghadapi banyak kesulitan seperti dari segi operasi, bahkan hingga ke hari ini.
“Sebabnya sangat jelas… Singapura sebenarnya bukanlah negara pertanian atau akuakultur. Di sini kami tidak mempunyai pengalaman… dan
perhatian yang sepenuhnya tidak diberikan kepada industri pertanian dan akuakultur.
“Bagaimanapun, saya merasakan keadaan kian bertambah baik dan saya percaya kita dapat memperolehi pengalaman yang diperlukan.”
Menyifatkan dirinya sebagai “penternak udang”, Dr Farshad – yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang akuakultur – gembira
dapat menumpukan perniagaannya bagi menghasilkan dan menternak udang secara tempatan yang dapat dijual di pasaran.
Di samping penternakan udang, syarikatnya turut mengeluarkan dan mengedar produk selain menawarkan perkhidmatan khusus kepada
pelanggan mereka dalam industri akuakultur di serata dunia.
“Ramai yang mengenali kami sebagai ‘orang yang menternak udang’, jadi kepakaran kami adalah dalam penternakan udang.
“Buat masa ini kami sedang mengusahakan untuk menternak lima spesis udang yang dapat menjana keuntungan tinggi dalam industri
akuakultur ini,” ujarnya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di landang ternakannya di Neo Tiew Lane.
Pada 2018, Blue Aqua International, yang mempunyai 14 cabang syarikat di serata dunia, berjaya memperolehi tanah di kawasan Lim Chu
Kang untuk penternakan ikan dalam usaha meningkatkan sumber makanan yang dihasilkan di Singapura.
Ini selepas Agensi Makanan Singapura (SFA) menawarkan tender untuk 36 plot tanah pertanian selama 20 tahun di kawasan Lim Chu Kang
dan Sungei Tengah sebagai langkah pemerintah untuk mewujudkan sebuah kelompok pertanian-makanan berteknologi tinggi.
Berkongsi mengenai rancangannya, Dr Farshad berkata beliau mahu menternak ikan jenis tilapia, bawal mas (pompano) dan kerapu (garoupa)
di ladang barunya nanti.
Menggunakan sistem pertanian intensif yang dipatenkan, syarikat itu berharap dapat menghasilkan sekitar 500 tan ikan dan 200 tan udang
setiap tahun.
Ini sejajar dengan visi Singapura untuk menghasilkan 30 peratus makanan tempatan menjelang 2030 – iaitu matlamat ’30 menjelang 30′.
Singapura mengimport 90 peratus makanannya dari luar negara, dan ini boleh menjejas kedudukannya sekiranya terdapat gangguan
terhadap pengeluaran makanan global. Ini jelas dapat dilihat apabila pandemik Covid-19 melanda Singapura awal tahun ini.
Buat masa ini, syarikat Blue Aqua menternak makanan laut segar ini sebelum dijual kepada pembeli di pasar raya tempatan seperti NTUC
FairPrice, di bawah jenama Nature’s Hug.
Mereka kini dalam proses untuk mendapatkan sijil yang diperlukan untuk “membenarkan mereka mengeksport udang segar bermutu tinggi
ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah”, menurut Dr Farshad lagi.
Walaupun industri ini masih mempunyai kekurangannya, Dr Farshad yakin bahawa Singapura masih dapat mencapai matlamat ’30 dengan
30′ yang telah ditetapkan.
Beliau berkata: “Saya pasti kami boleh mencapainya. Di Singapura terdapat banyak petani dan penternak yang berkebolehan dan kami
semua sedang melakukan yang terbaik.
“Tiada persaingan antara kami dan saya rasa kami perlu membantu antara satu sama lain untuk mencapai matlamat yang sama.
“Dalam perjalanan ini, kami tidak mampu berjalan sendiri 100 peratus, ia mustahil. Namun apabila kami bekerjasama, apa jua matlamat –
seperti matlamat ’30 menjelang 30′ – dapat dicapai dengan rancangan yang teliti dan baik.”
Saya pasti kami boleh mencapainya. Di Singapura terdapat banyak petani dan penternak yang berkebolehan dan kami semua sedang
melakukan yang terbaik. Tiada persaingan antara kami dan saya rasa kami perlu membantu antara satu sama lain untuk mencapai
matlamat yang sama. Dalam perjalanan ini, kami tidak mampu berjalan sendiri 100 peratus, ia mustahil. Namun apabila kami bekerjasama,
apa jua matlamat – seperti matlamat ’30 menjelang 30′ – dapat dicapai dengan rancangan yang teliti dan baik
– Dr Farshad Shishehchian, pengasas syarikat Blue Aqua International.
Juga di Berita Harian